Sunday 28 December 2014

#03 Kampung Belukar Durian Kampung Pelancongan Desa KEJORA


         Disember 2008, satu kajian yang bertajuk Kajian Pembangunan Produk Pelancongan Desa Wilayah KEJORA telah dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) melalui Tourism Planning Research Group, Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Kajian tersebut telah menggariskan beberapa kampung yang mempunyai produk pelancongan dan berpotensi dibangunkan sebagai sebuah kampung pelancongan desa. Antara kampung yang terpilih untuk dijenamakan sebagai kampung pelancongan desa ialah Kampung Belukar Durian.

      Hasil kajian tersebut menjadikan Kampung Belukar Durian mengorak selangkah lagi kehadapan dengan berpotensi untuk menerima pelbagai pembangunan berkonsepkan pelancongan desa. Bermula tahun tersebut juga, pihak KEJORA telah melaksanakan pelbagai pembangunan baik dalam pembangunan kemudahan infrastruktur pelancongan desa, pembangunan projek ekonomi pelancongan dan juga pembangunan modal insan kepada penduduk tempatan yang berteraskan pelancongan.

          Antara kemudahan infrastruktur pelancongan desa yang telah dibangunkan sehingga 2014 adalah wakaf, tandas, boardwalk, menara tinjau dan juga dewan terbuka. Manakala projek ekonomi yang telah dibangunkan adalah 2 unit kiosk, 3 unit bot pelancongan serta 7 unit chalet. Bagi melengkapkan ilmu pengetahuan serta memperlengkapkan modal insan kepada komuniti Kampung Belukar Durian, KEJORA turut melaksanakan kursus, seminar, bengkel dan juga lawatan sambil belajar. Antara program yang dilaksanakan termasuklah Lawatan Ilmiah ke Homestay Wiso Malai Sabah, Homestay Kampung Sinisian Sabah, Kursus Asas Homestay, Seminar Pembangunan Kraftangan, Kursus Anyaman Lekar serta beberapa program yang berkonsepkan pelancongan.

No comments:

Post a Comment